TUARAN, 10 OGOS – Pemeliharaan warisan budaya pelbagai etnik di Sabah menjadi keutamaan kerajaan negeri yang komited untuk mempromosi dan memartabatkan khazanah budaya tempatan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata penganjuran Festival Kebudayaan Rumpun Bajau Samah selama empat hari yang berakhir hari ini berupaya mengangkat warisan budaya negeri ke tahap lebih tinggi sekali gus menaikkan imej Sabah di persada dunia.
“Dengan 35 kumpulan etnik dan 217 subetnik dalam komuniti Sabah, masyarakat kita rencam dan benar-benar majmuk dalam konteks Malaysia. Pun begitu, rakyat Sabah kekal hidup harmoni dengan semangat perpaduan tinggi selari dengan slogan ‘Kesatuan Dalam Kepelbagaian’.
“Festival ini dianjurkan setiap tahun bagi mempromosikan budaya suku kaum Bajau Samah. Walaupun kita meraikan budaya Bajau Samah, kepelbagaian etnik lain turut menjadi asas keharmonian negeri ini dan akan terus dipelihara sampai bila-bila,” katanya.
Hajiji berkata komitmen memelihara budaya selaras dengan hala tuju kerajaan negeri memandangkan Sabah merupakan negeri yang kaya dengan pelbagai suku kaum dan tradisi. – Bernama


