Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – Seramai 84 orang pelajar dari Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna (SMPAPHM) telah menerima sijil anugerah kecemerlangan bagi peperiksaan BCGCE O Level, IGCSE dan BTEC 2018 pada majlis yang berlangsung di dewan serba guna sekolah tersebut, pagi hadi ini.
Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Ketua Program dan Bahagian Akademik Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Dayang Sarimah binti Abu Bakar.
Pengetua SMPAPHM, Hajah Norwen binti Haji Brahim dalam ucapannya mengongsikan bahawa sekolah tersebut telah mencapai 52.59 peratus bagi pelajar-pelajar yang mendapat lima kredit ke atas berbanding tahun sebelumnya hanya 50.24 peratus, peningkatan sebanyak 2.35 peratus. “Insya-Allah, tahun ini kami akan meneruskan dalam meningkatkan pencapaian angka pelajar yang mendapat lima kredit ke atas melalui pelan inisiatif sekolah,” katanya.
Daripada jumlah pelajar yang diraikan itu, 11 menerima Anugerah Pelajar Cemerlang, 10 menerima anugerah Pencapaian (Gred A*) dalam IRK, Art & Design, Geografi, Matematik, Bahasa Melayu dan Chemistry, manakala itu, tiga pelajar lulus dan mendapat keputusan memuaskan dalam Program Peringkat kedua Pearson BTEC.
