SEREMBAN, 30 Okt – Cawangan Penguatkuasa Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan merampas sebanyak 842 produk kesihatan dan kosmetik terlarang bernilai RM1.6 juta untuk tempoh Januari hingga Oktober lepas.
Pengarah Kesihatan Negeri Dr. Zainudin Mohd Ali berkata antara jenis produk kesihatan dan kosmetik yang dirampas itu termasuk produk yang disyaki tidak berdaftar dan produk yang disyaki dicemari racun.
“Antara kategori produk kesihatan ialah pelangsing badan iaitu Figure-Up, Pure Slim 7D dan Surut Ayu yang mengandungi racun terlarang Sibutramine serta penahan sakit iaitu Bella Formula, Majun Dua Istimewa, Ubat-ubat Papan (contoh: Pil Tupai Jantan Asli) yang mengandungi Corticosteroid.
“Manakala, kosmetik pula iaitu Tati Skincare Treatment Cream, Glow Glowing Night Glow dan Glow Glowing Day Pinky Beauty yang mengandungi Hydroquinone, Tretinoin dan Mercury,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi) Abd. Halim Abd Haziz.
Katanya sebanyak 55 kertas siasatan telah dibuka pada tahun ini dan daripada jumlah itu, 52 kes didakwa di mana 44 mengaku salah, manakala lapan kes lagi dalam proses pendakwaan.
Katanya kes-kes tersebut disiasat di bawah Peraturan 30(1) dan 18A(15) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Mengikut statistik pada tahun ini, setakat Oktober lepas kita telah membuat 59 serbuan dengan nilai rampasan RM1.6 juta. Antara premis yang diserbu termasuk kedai runcit dan kedai ubat, farmasi, rumah kediaman, pengamal tradisional, setor dan gudang serta salun kecantikan.
“Bilangan premis yang diperiksa ialah 322 premis tidak berlesen, industri berlesen racun (157), klinik (137) dan farmasi (124). Manakala kutipan denda kesalahan Akta Jualan Dadah 1984 sehingga Oktober lepas berjumlah RM150,550,” katanya. – Bernama