Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ustaz Elyas tegur dakwaan artis tanpa tudung

    Pendakwah bebas Ustaz Elyas Ismail memberi teguran kepada kaum wanita yang seolah-olah memandang ringan mengenai isu membuka tudung.

    Elyas menjelaskan menutup aurat adalah arahan jelas daripada Allah SWT dan bukan tentang pilihan peribadi atau persepsi masyarakat semata-mata.

    Malah kenyataan mendakwa diri lebih dekat dengan Tuhan walaupun tidak memakai tudung adalah tidak masuk akal.

    “Ayat apa ni? Bertudung dan menutup aurat itu adalah perintah Allah tanda seseorang itu cuba mendekatkan diri dengan Allah mestilah dengan melaksanakan apa yang Allah suruh.

    “Ada juga yang kata saya tidak bertudung tapi saya baik, macam mana? Allah memerintahkan supaya perempuan melabuhkan pakaian, menutup seluruh badan apabila dia nak keluar rumah.

    “Dengan cara sedemikian, akan lebih dikenali sebagai perempuan yang baik dan tidak diganggu. Menutup aurat, bertudung itu tanda perempuan baik,” katanya.

    Elyas berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram miliknya.

    Dalam pada itu, Elyas turut menyentuh kenyataan sesetengah pihak yang berhujah bahawa walaupun tidak bertudung mereka tetap menjadi individu yang baik.

    Kata Elyas, kebaikan dalaman tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan perintah syariat.

    “Jadi berhentilah menggunakan ayat ‘kalau saya bertudung pun hipokrit buat apa’. Ini bukan soal hipokrit, ini arahan Allah.

    “Orang mengata atau tidak, kalau dah Allah yang suruh kita kena buat. Malah Rasullullah pun berpesan, sesiapa yang membuat sesuatu perkara untuk mencari keredaan Allah walaupun dengan marahnya manusia, Allah akan cukupkan keperluan dan kehidupannya itu.

    “Tapi kalau dia sibuk sangat nak mencari reda manusia dengan murkanya Allah, maka Allah akan biarkan saja dia terumbang ambing dalam kehidupannya. Maka ingat, reda Allah paling utama bukan reda peminat (manusia),” ujarnya lagi. – Agensi

     

    Ustaz Elyas mengingatkan tentang kewajipan menutup aurat. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda