Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    85% kawasan Gaza terletak dalam zon tentera – PBB

    HAMILTON, 3 JULAI – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin memaklumkan bahawa 85 peratus daripada wilayah Semenanjung Gaza kini berada dalam zon ketenteraan yang dikuasai Israel, kawasan di bawah arahan pemindahan atau gabungan kedua-duanya, lapor Anadolu Ajansi (AA).

    Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata dalam sidang media bahawa arahan pemindahan, “amat menjejaskan akses penduduk terhadap bantuan kemanusiaan serta menyukarkan petugas bantuan untuk sampai kepada mereka yang memerlukan.”

    Beliau merujuk kepada arahan pemindahan terbaharu Israel melibatkan dua kejiranan di Khan Younis yang menempatkan sehingga 80,000 penduduk, sambil memaklumkan bahawa rakan-rakan PBB melaporkan bahawa kawasan takungan utama Al Satar kini tidak lagi dapat diakses susulan arahan itu.

    Al Satar merupakan hab pengagihan air utama untuk Khan Younis dan menjadi titik kritikal bagi bekalan air yang disalurkan melalui paip dari Israel.

    “Sebarang kerosakan terhadap takungan itu boleh menyebabkan sistem pengagihan air di bandar berkenaan lumpuh sepenuhnya, sekali gus mencetuskan situasi kemanusiaan yang serius,” katanya.

    Dujarric turut memberi amaran bahawa arahan pemindahan, “memberi tekanan terhadap perkhidmatan asas dan memaksa orang awam berhimpit dalam kawasan yang semakin sempit” di wilayah yang terkepung itu.

    Sejak gencatan senjata yang gagal pada Mac lalu, kira-kira 714,000 orang sekali lagi dipaksa berpindah di seluruh Gaza, termasuk hampir 29,000 orang dalam tempoh hanya 24 jam antara Ahad dan Isnin lalu, katanya. – Bernama/Anadolu 

    Kereta kebal tentera Israel sedang berkawal di latar belakang di pusat pengedaran bantuan kemanusian di selatan Gaza pada Mei 2025. 85% peratus kawasan Gaza dalam zon tentera .- Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda