Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 28 APRIL – Seramai 85 pelajar yang berbakat dalam bidang muzik telah mengadakan persembahan muzikal yang dianjurkan oleh Sekolah St John, Kuala Belait baru-baru ini.
Acara yang diadakan di sekolah berkenaan bertujuan untuk menyerlahkan bakat dan kebolehan muzik yang dimiliki oleh para pelajar.
Hadir menyaksikan persembahan tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah St John, Lee Yin Fah; dan Pengetua Sekolah St John, Dr Teh Keng Watt. Turut hadir, para ibu bapa dan penjaga serta guru-guru dan pelajar sekolah bagi menyokong persembahan pelajar berkenaan.
Terdahulu, selepas acara koir pembukaan yang menampilkan persembahan lagu Ain’t No Mountain High Enough daripada pelajar kanak-kanak, Sarjana Kanan Pentadbiran sekolah, Matthew Lim Toh Loy, menjelaskan dalam ucapannya bagaimana lagu itu menetapkan nada untuk persembahan seterusnya.
“Sama seperti lagu itu, tidak ada halangan yang terlalu besar apabila kita meletakkan hati dan fikiran kita ke dalam sesuatu,” katanya.
“Walaupun setiap pelajar yang membuat persembahan itu berdepan cabaran, mereka perlu melakukannya dengan yakin, sama seperti dalam nyanyian, bermain alat muzik atau kedua-duanya.
“Yakin dan berseronok di pentas, dengan menggunakan muzik untuk mengekspresikan diri,” tambahnya.
Selepas ucapan, acara diteruskan dengan persembahan muzik individu, termasuk persembahan piano solo, gitar, dram, biola dan nyanyian.
Acara itu diakhiri dengan koir penutup bertajuk This is Me, diikuti dengan ucapan penutup oleh guru muzik sekolah itu, Abraham Conda Lotivio, di mana beliau menyatakan bagaimana kumpulan penyanyi dan pemuzik berbakat itu menghidupkan emosi mereka melalui persembahan muzik yang dipersembahkan sepanjang acara itu.
“Kami berharap persembahan muzikal ini telah membantu memotivasikan pelajar untuk berlatih dengan tekun, sekali gus memberi ganjaran terhadap pencapaian di samping berkongsi bakat mereka dengan sekolah dan keluarga,” ujarnya.