LABUAN, 12 SEPT – Sebanyak 860 projek pembangunan bernilai RM49.9 bilion dilaksanakan di seluruh Malaysia, dengan 227 projek bernilai RM10.6 bilion sedang berjalan mengikut jadual.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata sebanyak 234 projek atau 27 peratus daripada keseluruhan projek, melibatkan nilai RM14.4 bilion berjaya dilaksanakan lebih awal daripada jadual.
“Walaupun ada kritikan projek tidak mungkin dapat disiapkan lebih awal daripada jadual, kami buktikan sebaliknya.
“Projek yang dipantau rapi oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) telah siap dan berjalan lebih cepat daripada perancangan… kami berharap dapat meningkatkan jumlah projek yang siap lebih awal kepada sekurang-kurangnya 33 peratus,” katanya selepas menyaksikan majlis penyerahan jambatan konkrit bernilai RM11.1 juta sepanjang empat kilometer di Kampung Air Patau-Patau 1, Labuan hari ini.
Ahmad berkata beberapa faktor menyumbang kepada kejayaan projek yang disiapkan lebih awal termasuk kerjasama rapat antara agensi kerajaan, tenaga kerja berkemahiran serta kontraktor yang kukuh dari segi kewangan. – Bernama


