Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis Jepun dibenarkan tembak beruang guna senapang

    TOKYO, 13 NOV – Polis di Jepun mulai hari ini boleh guna senapang untuk menembak beruang selepas undang-undang senjata api yang ketat disemak semula.

    Langkah itu adalah untuk bantu pihak berkuasa memerangi beberapa serangan maut oleh beruang yang turut mendorong kedutaan AS di Tokyo mengeluarkan ‘amaran hidupan liar’.

    Seramai 13 orang telah terbunuh oleh haiwan-haiwan tersebut di seluruh Jepun sejak April, dengan insiden yang dilaporkan hampir setiap hari melibatkan beruang yang menceroboh rumah, berkeliaran di sekolah dan mengamuk dalam pasar raya.

    Kerajaan sedang berusaha untuk menangani lonjakan serangan, yang menurut saintis didorong oleh meningkatnya populasi beruang dan digabungkan dengan hasil tuaian biji oak yang buruk pada tahun ini serta populasi manusia yang semakin menurun.

    Wilayah utara Akita dan Iwate, tempat kebanyakan serangan berlaku, mengadakan upacara hari ini untuk polis rusuhan yang kini dibenarkan guna senapang untuk menembak beruang.

    Pegawai tempatan mengesahkan kepada AFP bahawa perubahan pada peraturan senjata api telah berkuat kuasa hari ini selepas diumumkan minggu lalu.

    Semakan itu dibuat ketika laporan media mengatakan pistol biasa yang digunakan polis Jepun adalah tidak berkesan kerana ia tidak cukup kuat untuk membunuh beruang.

    Kedutaan AS di Tokyo pula menyiarkan ‘amaran hidupan liar’ kelmarin di laman webnya mengingatkan orang ramai supaya elak berjalan sendirian di kawasan di mana beruang telah dilihat atau menjauhi sama sekali.

    Kerajaan British juga menggesa pelancong untuk mengelakkan berjalan bersendirian di kawasan di mana beruang telah dilihat. – AFP

    Pasukan polis kawalan beruang wilayah Iwate menghadiri majlis di Bandar Takizawa, Wilayah Iwate hari ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda