Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    4 tahun tiada perubahan langsung – Uqasha

    Empat tahun waktu yang lebih daripada cukup buat pelakon Uqasha Senrose memberi peluang kepada suami, Kamal Adli untuk memperbaiki rumah tangga mereka yang kini dilanda badai.

    Disebabkan itu, Uqasha atau nama lengkapnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, kekal tegas dengan pendirian untuk bercerai kerana berasakan usahanya untuk memperbaiki hubungan disia-siakan suami.

    “Empat tahun saya sudah berusaha untuk perbaiki rumah tangga ini, cuba sedaya upaya saya. Malah saya sudah berjumpa keluarga Kamal terlebih dahulu untuk bantu saya perbaiki dan pertahankan perkahwinan kami.

    “Tetapi, tiada perubahan langsung oleh Kamal. Saya masih ada ibu bapa, adik-beradik, saya perlu beritahu keluarga apa yang terjadi dalam rumah tangga saya.

    “Saya berbincang dan kedua-dua juga sudah berbincang untuk beri peluang lagi kepada Kamal. Namun peluang itu dipersia-siakan. Setelah dipersiakan, saya rasa adalah terbaik untuk saya dan anak keluar dari kemelut yang memudaratkan mental dan fizikal saya serta anak. Jadi saya nekad untuk berpisah,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, hari ini.

    Sementara itu, peguam syarie mewakili Uqasha, Muhammad Syazmee Sapian memaklumkan kedua-dua pihak akan hadir ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi berbincang sebelum prosiding seterusnya pada 18 Disember depan.

    “Hari ini adalah prosiding ketiga dan masing-masing membawa wakil JKP. Akan ada satu tarikh untuk berjumpa di JAWI bagi berbincang. Perjumpaan JAWI akan berlangsung terlebih dahulu sebelum prosiding seterusnya iaitu pada 18 Disember depan,” ujarnya.

    Terdahulu, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu dan prosiding pertama berlangsung pada 22 Oktober. Permohonan cerai berkenaan dibuat Uqasha pada 1 Oktober lalu di bawah Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam dengan alasan tiada lagi persefahaman antara mereka.

    Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang berusia 18 bulan. – Agensi 

    Uqasha tetap nekad ingin menuntut perceraian daripada suami. – Kosmo! Online
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda