87 lagi kes dilaporkan di S’pura

SINGAPURA, 23 OGOS – Singapura hari ini mencatatkan 87 kes baharu jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam dengan 13 kes merupakan kes import, menjadikan jumlah keseluruhan 56,353.

Mengikut data ringkas dikeluarkan Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini, kesemua kes import telah dikenakan Notis Tinggal Di Rumah sebaik tiba di Singapura.

Berdasarkan siasatan, kementerian itu menyatakan terdapat satu kes komuniti yang merupakan seorang pemegang pas kerja.

Menurut data penuh yang dikeluarkan lewat Sabtu pula, republik itu telah mengklasifikasikan 840 kes sebagai kes import, 2,217 kes komuniti dan 53,209 sebagai kes penghuni asrama pekerja asing.

Sejumlah 53,920 kes telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan telah didiscaj daripada hospital atau fasiliti penjagaan komuniti.

Sementara itu, 81 kes disahkan masih berada di hospital, namun tiada yang berada di unit rawatan rapi. Sejumlah 2,238 pesakit bergejala ringan atau secara klinikalnya sihat tetapi diuji positif COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Sehingga kini 27 telah meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 di republik itu. Satu kluster baharu dikenal pasti di Sungei Tengah Lodge, 500, Old Choa Chu Kang Road. – Bernama