Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    89 guru terokai ethno literasi, numerasi

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Dalam usaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran para guru sekolah, Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) telah mengadakan Bengkel Ethno Literasi dan Ethno Numerasi bagi guru-guru sekolah-sekolah PGGMB bermula 19 Julai hingga 21 Julai.

    Bengkel anjuran PGGMB dengan kerjasama Universiti Surabaya, Indonesia dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah dari Universiti Surabaya iaitu Dr Neni Mariana, Dr Ari Metalin Ika Puspa dan Ricky Setiawan.

    Bengkel itu disertai oleh seramai 89 orang guru sekolah-sekolah PGGMB iaitu Sekolah PGGMB Sungai Akar, STJ Lambak, STJ Madang dan juga STJ Belait.

    Setiausaha Agung PGGMB, Haji Mustapa Haji Masri dalam kata alu-aluannya sebelum bengkel dimulakan mengalu-alukan kedatangan para pensyarah dari Universiti Surabaya serta memberikan pengenalan mengenai profil PGGMB dan sekolah-sekolah PGGMB.

    Bengkel itu bermatlamat untuk menambahkan lagi ilmu pengetahuan dan kemahiran para guru sekolah, memperkembangkan pengetahuan pengajaran dan kemahiran dalam bidang Ethno Literasi dan Numerasi kepada murid-murid sekolah supaya ia tidak pupus.

    Bengkel itu juga dihasratkan dapat mengeratkan silaturahim di antara PGGMB dan Universiti Surabaya supaya disiplin Ethno Literasi dan Ethno Numerasi dapat diperkembangkan dan diajarkan kepada murid-murid sekolah.

    Bengkel berkenaan menerima sambutan yang sangat baik daripada para peserta di mana ia memberikan mereka ilmu pengetahuan baru dalam landskap pendidikan khususnya dalam pengajaran serta pembelajaran murid-murid sekolah.

    Haji Mustapa bergambar ramai dengan para pensyarah dan guru sekolah-sekolah PGGMB yang menyertai bengkel berkenaan. – GAMBAR SERAHAN PGGMB

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda