Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT -Seramai 89 orang murid, terdiri daripada 44 murid lelaki dan 45 murid perempuan, diraikan dalam dalam Majlis Penyampaian Sijil Peperiksaan Sekolah-Sekolah Rendah Ugama (SSSRU) Darjah VI Tahun 1446H/2024M bagi Sekolah Ugama Beribi, Gadong (Petang) di Dewan Fathul Busyra, Sekolah Ugama Beribi, Gadong, kelmarin.
Hadir selaku tetamu khas di majlis itu dan seterusnya menyampaikan sijil kepada pelajar yang diraikan, Pegawai Pengajian Islam Daerah bagi Kawasan Brunei III, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Fauzi bin Haji Zaini.
Majlis berkenaan antara lain bertujuan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada para pelajar atas pencapaian cemerlang mereka serta kejayaan menamatkan persekolahan ugama sehingga tamat Darjah VI.
Selain itu, majlis juga diadakan bagi menyemai semangat ingin berusaha dan berjaya dalam kalangan pelajar, di samping mengukuhkan sokongan serta kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti dalam mendidik generasi yang berilmu dan berakhlak mulia.



Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah serta Sayyidul Istighfar, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada Surah Al-Mulk.
Turut hadir dimajlis itu, Pengerusi Majlis, Guru Besar Sekolah Ugama Beribi, Gadong, Dayang Hajah Jamaliah binti Haji Yassin, guru-guru, ibu bapa serta penjaga murid.


Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil dan hadiah yang disempurnakan oleh tetamu khas, termasuk penyampaian hadiah kecemerlangan kepada para pelajar yang terpilih
Majlis seumpama itu diharap dapat menyuntik semangat para pelajar untuk terus melangkah maju dengan iltizam yang tinggi serta berusaha mencapai kecemerlangan di masa hadapan, seterusnya menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

