SIBU, 27 OGOS – Markas Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Briged) hari ini menafikan sebarang kaitan dengan surat permohonan peruntukan bagi jamuan Hari Kemerdekaan peringkat negeri Sarawak yang kononnya dijadualkan berlangsung di Dewan Suarah Sarikei.
Dalam satu kenyataan hari ini, 9 Briged memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengesan individu yang bertanggungjawab mengeluarkan surat berkenaan.
Surat bertarikh 26 Ogos itu kononnya daripada Pengarah Unit Kewangan Kementerian Pertahanan, Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur dengan tajuk Permohonan Peruntukan Kewangan Bagi Program Jamuan Makan Sempena Merdeka 2025.
Dokumen tersebut turut ditandatangani atas nama Staff Sarjan Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim (Ketua RAMD), Kem Tentera Rejimen 510 Askar Wataniah, Kem Sri Rejang, dengan permintaan peruntukan sebanyak RM10,000 untuk membiayai program tersebut. – Bernama


