TOKYO, 1 Jan – Sembilan orang mendapat cedera termasuk seorang dalam keadaan parah apabila seorang lelaki dengan sengaja merempuh orang ramai yang meraikan Sambutan Tahun Baharu menggunakan keretanya di sepanjang jalan raya terkenal Tokyo, menurut pihak polis dan media, hari ini.
Dengan ‘niat membunuh’, pemandu yang dikenali sebagai Kazuhiro Kusakabe, 21, memandu kenderaannya ke Jalan Takeshita di Daerah Harajuku, Tokyo, 10 minit selepas tengah malam, menurut seorang jurucakap polis kepada AFP.
Menurut badan penyiar NHK, Kusakabe memberitahu polis bahawa dia melakukannya sebagai ‘balasan hukuman mati’ tanpa memberikan butiran lanjut mengenainya.
Futej NHK menyiarkan sebuah kereta kecil bersama kesan pelanggaran di bahagian depan dan pasukan paramedik membawa mangsa yang terlibat di atas usungan menaiki ambulans.
Salah seorang saksi memberitahu NHK kejadian itu sebagai ‘peristiwa dahsyat’.

“Saya melihat beberapa orang rebah di atas jalan raya. Ketika mendekati lokasi kejadian, saya melihat semakin ramai orang rebah di atas jalan raya. Sejurus tiba di sana, pasukan paramedik sudah berada di sana untuk membantu mangsa yang terlibat,” katanya.
Seorang lagi saksi yang menjalankan perniagaan kedai baju di kawasan berkenaan berkata: “Saya sangat terkejut perkara seumpama ini berlaku di Jalan Takeshita.”
Sementara itu, pihak polis dengan segera menutup jalan itu, yang padat dengan orang ramai yang semasa meraikan Sambutan Tahun Baharu.
Seorang pelajar kolej berdepan kecederaan parah akibat serangan dan menjalani operasi pembedahan, beritahu jurucakap polis kepada AFP.
Kusabe kini ditahan atas dakwaan percubaan bunuh. – AFP