NAIROBI, 11 OKT – Sebuah pesawat udara yang membawa 55 orang dari ibu negara Kenya ke pulau pelancongan Lamu tergelincir di landasan kapal terbang ketika berlepas, terbabas lalu melanggar beberapa pokok dan mengakibatkan sembilan orang cedera, kata pegawai penerbangan hari ini.
Kapal terbang itu, dikendalikan oleh syarikat penerbangan domestik Silverstone Air, dijangka membuat persinggahan di bandar pelabuhan Mombasa sebelum menuju ke Lamu, tempat terletaknya tapak warisan dunia UNESCO di luar pantai utara Kenya.
“Pada pagi ini kira-kira pukul 9:00 pagi, sebuah pesawat udara Fokker tergelincir semasa berlepas dari Lapangan Terbang Wilson, Nairobi. Pesawat udara itu membawa 55 orang, 50 penumpang dan 5 kru,” kata Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Kenya (KAA) dalam satu kenyataan.
Sheila Muturi, pegawai syarikat, memberitahu sidang media bahawa sembilan orang cedera dan satu siasatan telah dilancarkan untuk mencari punca kemalangan. – AFP
