RIO DE JANEIRO, 28 Feb – Seramai sembilan orang mengalami kecederaan di Brazil hari ini ketika pusingan keempat perarakan samba, apabila sebuah pentas kereta berhias runtuh akibat berat penari-penari di atas pentas tersebut.
Insiden itu berlaku kira-kira jam 3 pagi ketika perarakan Unidos da Tijuca di Rio de Janeiro Sambodromo, sehari selepas sebuah trak yang membawa kereta berhias merempuh penonton pada lewat Ahad dan mencederakan 20 orang.
Pihak berkusa kesihatan perbandaran berkata dua daripada sembilan orang itu mengalami kecederaan parah.
Kekeliruan tercetus selepas keruntuhan itu apabila ambulans tiba untuk memindahkan orang-orang tercedera, dengan pihak polis cuba untuk mengusir puluhan orang yang cuba mengambil gambar.
“Saya berada pada pentas tersebut di sebelah kiri, dan tiba-tiba saya melihat bahagian sebelah kanan runtuh,” penari Raissa Ribeiro memberitahu AFP.

Kemalangan sebelumnya pada malam pertama kejohanan sekolah elit samba berlaku pada lewat Ahad apabila kereta berhias sekolah Paraiso do Tuiuti merempuh orang awam ke arah pagar.
Lapan daripadanya, termasuk seorang wartawan yang membuat liputan terhadap parti terbesar di Rio itu dimasukkan ke hospital dan tiga lagi dalam keadaan parah.
Perarakan samba dan parti-parti jalan dikenali sebagai ‘blocos’, di mana ratusan ribu orang bersuka ria dengan mengenakan pakaian menarik memberikan satu peningkatan besar pada ekonomi Rio.
Mereka menarik lebih daripada satu juta pelancong dan hampir AS$1 bilion dalam pendapatan, menurut para pegawai.
Orang-orang Brazil yang melalui hidup dua tahun dalam kemelesetan dan hampir 13 peratus penganggur telah mengambil peluang karnival tahun ini untuk mengurangkan tekanan hidup. – AFP