Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Seramai sembilan warga asing telah ditahan, termasuk enam wanita dipercayai menawarkan khidmat seks serta tiga lelaki yang disyaki bertindak sebagai pelanggan ditahan oleh Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Maksiat (USPPM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam satu serbuan baru-baru ini di sebuah hotel penginapan di Gadong.
Serbuan bagi membanteras kegiatan yang tidak bermoral itu mendapati beberapa bahan bukti antaranya telefon bimbit, wang tunai dalam mata wang Brunei dan asing berjumlah kira-kira $8,000, kondom dan minyak pelincir yang dipercayai digunakan untuk aktiviti tidak bermoral.
Kesemua suspek telah dibawa ke JSJ untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 294A, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22, berkaitan kesalahan menawarkan khidmat seks.
Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (USPM) turut menjalankan penilaian bagi menentukan sama ada wanita-wanita yang ditahan adalah mangsa pemerdagangan manusia.
PPDB menggesa orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dengan menghubungi talian kecemasan 993, mana-mana balai polis berdekatan, atau melalui e-mel di www.polis.gov.bn serta Instagram rasmi @upa.ppdb.