Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    9 kadet juruterbang tandatangani perjanjian

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) mencatatkan satu lagi mercu tanda yang signifikan dalam Program Kadet Juruterbang di mana seramai sembilan orang kadet juruterbang telah dipilih daripada seramai 883 individu dengan pemilihan mereka mencerminkan bakat, ketekunan serta potensi mereka.

    Sejak 1975, Skim Kadet Juruterbang berkenaan telah membangunkan bakat tempatan di mana pada masa kini, terdapat seramai 113 orang juruterbang tempatan dan tujuh orang kadet dalam latihan dengan kesemuanya komited kepada standard keselamatan dan profesionalisme yang tertinggi, jelas Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid ketika berucap di Majlis Penandatanganan Pengambilan Kadet Juruterbang ke-55 yang berlangsung di Hab Kolaborasi, Kampus RB, hari ini.

    Beliau menambah bahawa para juruterbang kadet yang terpilih kerana potensi mereka dan sebagai juruterbang RB, mereka memikul tanggungjawab untuk menegakkan standard berkenaan dengan keselamatan sentiasa diutamakan dalam segala yang dilaksanakan.

    Kapten Sabirin seterusnya berkata bahawa para kadet yang dipilih akan menjalani latihan intensif selama 108 minggu bermula di Ponte De Sor, Portugal, di Seven Air, diteruskan di Perancis bagi Kursus Juruterbang Penerbangan di Airbus dan berakhir di Toulouse bagi meng-halusi lagi kemahiran mereka untuk dek penerbangan.

    Beliau berkata, “Program ini direka bentuk untuk memberi awda pengetahuan, disiplin dan pengalaman yang diperlukan untuk memenuhi piawaian tertinggi keselamatan penerbangan dan kecemerlangan operasi dan kami yakin awda akan bangkit untuk menjadi juruterbang teladan, meneruskan legasi membanggakan syarikat penerbangan ini.”

    Di majlis berkenaan, sembilan orang juruterbang kadet dipilih dan menandatangani perjanjian iaitu Awang Ahmad Saufi bin Haji Awang Jokeple, Awangku Muhammad Norazim bin Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi, Awangku Muhammad Rafiuddin bin Pengiran Saharuddin, Awang Izzat Itqan bin Haji Hayrul, Leon Chua Boon Hsien, Awang Mohammad Umair Wafri@ Mohd Iliya bin Haji Noor Ahsffian, Awang Myzakhan bin Zaper Khan, Awang Nur Ar-Rasyid bin Nor Erawadi dan Wong Chee Hong.

    Kapten Sabirin dan pengurusan kanan RB bergambar ramai dengan kadet-kadet juruterbang pengambilan ke-55, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Salah seorang kadet juruterbang menandatangani perjanjian bagi pengambilan kadet juruterbang ke-55, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda