Saturday, December 7, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    9 Maut, 11 hilang kompasu badai Filipina

    MANILA, 12 OKT – Sekurang-kurangnya sembilan maut dan 11 yang lain hilang akibat ribut tropika Kompasu yang menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di Filipina, menurut kerajaan pada Selasa, lapor Xinhua.

    Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Nasional mengatakan mangsa yang maut adalah penduduk wilayah utara Filipina dan Palawan, sebuah pulau yang terletak di luar pulau Luzon. Dua yang lain turut cedera, tambahnya.

    Agensi itu mengatakan ribut berkenaan mengakibatkan banjir di 15 kawasan dan tanah runtuh di empat wilayah, menjejaskan jalan raya dan jambatan.

    Lebih 1,600 penduduk di sekurang-kurangnya tiga wilayah di pulau Luzon terpaksa dipindahkan.

    Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina mengatakan ribut itu dikesan 315km di sebelah barat daerah Cagayan di timur laut pulau Luzon, pada pukul 10 pagi waktu tempatan.

    Biro itu mengatakan ribut berkenaan bergerak ke arah barat, barat laut dengan kelajuan 20kmsj, dengan angin bertiup kencang sekitar 100km hingga 125kmsj.

    Ia memberi amaran hujan lebat hingga sangat lebat dijangka berlaku di utara Filipina, seterusnya mengakibatkan banjir kilat dan tanah runtuh.

    Taufan dan ribut tropika kerap melanda Filipina, meragut ratusan nyawa dan menyebabkan kerugian berbilion-bilion dolar.

    Terletak di Lingkaran Gunung Berapi Pasifik, Filipina adalah antara negara yang paling kerap dilanda bencana, termasuk gunung berapi aktif, gempa bumi yang kerap berlaku, dan purata 20 taufan setahun, menyebabkan banjir dan tanah runtuh. – Bernama

    Para penyelamat mencari mangsa dalam sebuah rumah yang ditimbus tanah runtuh disebabkan Ribut Tropika Kompas di bandar Baguio, utara Filipina, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda