ISTANBUL, 11 MEI – Lapan maut manakala 20 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas penumpang, lori dan kereta di wilayah Canakkale, barat laut Turkiye kelmarin, menurut pihak berkuasa tempatan.
Gabenor Canakkale, Omer Toraman berkata kepada media bahawa lori berkenaan telah terbalik dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah bas penumpang dan sebuah kereta, lapor Xinhua.
Toraman memaklumkan bahawa pemandu lori dan tujuh penumpang bas maut dalam kejadian itu manakala 20 mangsa yang cedera dengan beberapa daripadanya dalam keadaan kritikal dibawa ke hospital berhampiran.
Punca kemalangan masih belum dikenal pasti.
Menteri Kehakiman Turkiye, Yilmaz Tunc berkata satu siasatan kehakiman telah dimulakan dan dua pendakwa raya telah ditugaskan untuk menyiasat kes itu. – Bernama
