HANGZHOU, 4 DIS – Angka korban dalam kejadian tangki kumbahan roboh di sebuah kilang percetakan dan pencelupan di wilayah Zhejiang timur China meningkat kepada sembilan orang, lapor agensi berita Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan pada Rabu.
Kejadian itu berlaku kira-kira 5.35 petang Selasa di Haining Longzhou Printing & Dyeing Co. Ltd. di bandar Haining.
Empat mangsa yang cedera parah kini dirawat di hospital, kata seorang jurucakap kerajaan perbandaran. Lebih 500 anggota penyelamat dan 30 kenderaan terbabit dalam misi mencari dan menyelamat. – Bernama