NEW YORK, 14 JULAI – Sembilan individu disahkan maut dalam satu kebakaran dahsyat yang melanda sebuah pusat jagaan warga emas di negeri Massachusetts, Amerika Syarikat (AS), menurut pihak berkuasa tempatan, hari ini.
Ketua Jabatan Bomba Fall River, Jeffrey Bacon, menyifatkan kejadian yang berlaku kelmarin di bandar Fall River itu sebagai satu ‘tragedi yang sukar digambarkan’.
Seorang mangsa dilaporkan masih dalam keadaan kritikal, manakala lebih 30 telah dikejarkan ke hospital. Seramai 12 penghuni berjaya diselamatkan. Lima anggota bomba turut mengalami kecederaan.
Menurut kenyataan, pasukan penyelamat tiba di lokasi sejurus sebelum jam 10 malam dan mendapati asap tebal serta api marak di bahagian hadapan bangunan, dengan beberapa penghuni terperangkap di dalam. – AFP
