MANILA, 11 April – Sembilan orang termasuk empat anggota pasukan keselamatan Filipina terbunuh hari ini dalam pertempuran dengan 10 anggota kumpulan penculik Abu Sayyaf yang disyaki di kawasan peranginan pulau Bohol, menurut pihak berkuasa.
Pencerobohan merupakan yang pertama ke atas destinasi pelancongan utama Filipina dalam beberapa tahun kebelakangan oleh kumpulan yang berikrar setia kepada Islamic State (IS) dan sering menyasarkan warga asing di kawasan selatan tak berundang-undang Mindanao.
Lima orang lelaki bersenjata terbunuh dan empat raifal serta satu bahan letupan buatan sendiri ditemui dalam pertempuran di pulau Bohol itu, menurut pegawai.
Insiden itu berlaku di sebuah kawasan terpencil, dengan pegawai tempatan mengatakan militan menggunakan bot laju untuk sampai ke sebuah kampung di mana mereka bertempur dengan pasukan keselamatan yang ke sana untuk melakukan siasatan.

Kedutaan Amerika Syarikat dan Australia sudah pun memberi amaran kepada warganya minggu ini mengenai kemungkinan penculikan oleh ‘kumpulan pengganas’ khususnya di pulau Bohol dan Cebu.
“Kedutaan AS sudah menerima maklumat tidak berasas namun boleh dipercayai yang kumpulan pengganas mungkin mencuba melancarkan penculikan di Tengah Visayas yang termasuklah wilayah Cebu dan Bohol,” menurut nasihat perjalanan AS itu.
Pasukan keselamatan sudah pun berwaspada bagi ‘aktiviti berpotensi di sebahagian daripada kawasan tak berundang-undang’ semasa musim pelancongan puncak Easter, menurut jurucakap tentera Brigedier-Jeneral Restituto Padilla.
“Pasukan kami yang bertindak atas maklumat ini berjaya mematahkan serangan kumpulan bersenjata yang dipercayai sebahagian daripada kumpulan Abu Sayyaf dari Mindanao,” katanya di televisyen ABS-CBN. – AFP