PARIS, 9 OGOS – Sebuah rumah percutian untuk orang kurang upaya (OKU) dewasa terbakar di timur Perancis, hari ini, mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang, kata ketua operasi menyelamat.
Leftenan Kolonel Philippe Hauwiller, yang mengetuai kerja menyelamat, berkata pasukan sedang mencari mayat dua orang lagi yang dikhuatiri maut dalam kebakaran itu. Pihak berkuasa berkata 17 orang telah dipindahkan, termasuk seorang yang dihantar ke hospital dengan kecederaan serius.
Hauwiller berkata hanya mereka yang tinggal di tingkat bawah penginapan persendirian di bandar Wintzenheim itu dapat menyelamatkan diri, yang menurut pentadbiran tempatan wilayah Haut-Rhin berlaku pada 6:30 pagi.
Sebelas penghuni yang lain terperangkap di tingkat atas dan di kawasan mezanin yang runtuh, menurut Hauwiller.
Perdana Menteri, Elisabeth Borne berkata di platform X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter, bahawa dia sedang dalam perjalanan ke lokasi kebakaran.
Setiausaha agung pentadbiran tempatan, Christophe Marot berkata kepada penyiar berita France Info bahawa pelawat termasuk orang dewasa dengan kecacatan intelek yang ringan. Sepuluh orang kurang upaya dan seorang yang mengiringi kumpulan itu dipercayai antara yang maut.
Kumpulan itu biasanya tinggal di bandar Nancy, di timur Perancis, kata kenyataan dari wilayah Haut-Rhin.
“Bangunan itu digunakan untuk percutian mereka,” tambahnya.
Pihak bomba mengerahkan 76 anggota bomba, empat jentera bomba dan empat ambulans untuk mengawal kebakaran dan merawat mangsa. Empat puluh anggota polis turut dikerahkan. Kebakaran tersebut berjaya dikawal, menurut kenyataan tersebut. – AP


