9 maut siklon badai Madagascar

ANTANANARIVO, MADAGASCAR, 10 DIS – Siklon Belna telah melanda utara Madagascar, dengan sembilan orang maut dan tiga hilang akibat ribut tropika pertama pada musim ini, menurut pegawai tempatan.

Belna bertiup ke barat bandar Soalala, di mana lebih daripada 1,400 penduduk kehilangan tempat tinggal disebabkan rumah mereka dimusnahkan, rosak atau dibanjiri, kata Kolonel Elack Olivier Andriakaja daripada pejabat pengurusan bencana negara, hari ini.

Mereka yang kehilangan tempat tinggal telah mendapatkan perlindungan di sekolah rendah, masjid dan pejabat daerah tetapi mereka memerlukan makanan, kata Andriakaja.

Kebanyakan bangunan pentadbiran kerajaan dan jalan raya juga telah dirosakkan, kata beliau.

Catuan makanan kecemasan akan dihantar ke Soalala menerusi laut, kata pegawai.

Perdana Menteri Madagascar Christian Ntsay akan berlepas ke Soalala untuk menilai kerosakan.

Angin ribut menerbangkan bumbung 80 peratus rumah dan pejabat kerajaan di bandar, kata ahli parlimen Soalala Naina Randriamisa, yang berkata paras air sedang naik di seluruh bandar.

Belna telah diturunkan taraf kepada ribut tropika ketika ia bergerak ke selatan pulau.

Hujan lebat dan angin kencang dijangka sehingga esok. Ribut siklon itu harus berakhir pada masa itu, menurut jabatan kaji cuaca. – AP

Gambar yang diambil pada 9 Disember menunjukkan seorang penjaja berjalan pulang di bawah langit mendung di Antananarivo, Madagascar. – AP