PUTATAN, 25 OGOS – Sembilan motosikal dan dua kereta yang diletakkan di ruang parkir bawah tanah di Platinum Apartment, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan 10 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan jam 3.40 pagi.
“Kebakaran membabitkan sembilan motosikal pelbagai jenis serta dua kereta jenis Perodua Axia dan Mercedez Benz yang semuanya terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran menggunakan sumber air dari tangki jentera dan api berjaya dikawal jam 4.25 pagi,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Tiada mangsa terbabit dan punca kejadian masih dalam siasatan. – agensi


