Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Dalam usaha meningkatkan kompetensi dan memperluas jangkauan profesional dalam kalangan penjawat awam di negara ini, sembilan pegawai kerajaan telah terpilih mengikuti Program Perkembangan Perkhidmatan Awam ke Republik Singapura.
Mereka yang terpilih terdiri daripada pegawai dari Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan serta Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang berlepas ke Republik Singapura hari ini.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat berlepas ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Dato Seri Paduka Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos dan Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dr Norfarizal bin Othman.
Program Perkembangan Perkhidmatan Awam tersebut merupakan hasil Program Pemimpin Muda (YLP) ke-8 yang telah diadakan pada 3 hingga 5 Ogos 2022 di Republik Singapura dan dimeterai melalui penandatanganan memorandum persefahaman antara dua kerajaan itu pada 24 Ogos 2022 di Singapura.
Program tersebut merupakan program jangka panjang dan berterusan yang bertujuan untuk memberikan peluang kepada pegawai-pegawai dalam Perkhidmatan Awam yang berprestasi cemerlang ditempatkan di beberapa agensi kerajaan atau agensi berkaitan kerajaan di Republik Singapura dalam tempoh mengikut bidang-bidang yang bersesuaian selaras dengan keperluan semasa dalam Perkhidmatan Awam Brunei.