9 pelajar maut jatuh jambatan, 1 hilang

BENGKULU, INDONESIA, 20 JAN – Sembilan orang mati lemas manakala seorang lagi hilang selepas jambatan runtuh di pulau Sumatera, Indonesia, kata agensi bencana hari ini.

Kira-kira 30 orang, terutamanya para pelajar melintasi jambatan itu petang kelmarin di bandar Kaur apabila jambatan pejalan kaki yang baharu dibina itu tiba-tiba runtuh, menyebabkan sebahagian remaja terjatuh ke sungai sementara yang lain berpaut pada pemegang jambatan.

Paras air sungai dilaporkan agak tinggi dengan arus deras susulan hujan lebat yang melanda rantau Bengkulu di selatan hujung Sumatera.

“Beberapa daripada pelajar terbabit sempat menyelamatkan diri namun 10 yang lain dihanyutkan semasa arus deras dan lemas,” kata Ujang Syafiri, ketua agensi pengurusan bencana memberitahu AFP, menambah bahawa jambatan itu mungkin runtuh disebabkan beban berat yang berlebihan.

Pasukan mencari dan menyelamat telah menjalankan pencarian bagi seorang remaja yang masih hilang dalam lingkungan 20km radius, katanya.

Mangsa lain juga diselamatkan selepas jatuh ke dalam sungai namun mengalami cedera parah dan dikejarkan ke hospital.

Sebahagian besar gugusan kepulauan Asia Tenggara itu dilanda hujan lebat susulan musim tengkujuh.

Di Jakarta dan kawasan sekitarnya, sejumlah 67 individu maut bulan ini akibat banjir kilat dan tanah runtuh. – AFP

Operasi pencarian mangsa dilakukan selepas sebuah jambatan runtuh di Padangguci, Bengkulu pada 20 Januari meragut sembilan nyawa dan seorang lagi hilang. – AFP