BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Sembilan pelajar Program Pra Vokasional yang telah berjaya menyempurnakan aktiviti pembungkusan rempah KFC Brunei Sdn Bhd telah diraikan dalam majlis penyampaian sijil.
Majlis tersebut telah diadakan baru-baru ini di Sekolah Menengah Sayyidina Othman (SMSO).
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengurus Perolehan KFC Brunei Sdn Bhd, Clarice Petrus.
Turut hadir, ketua unit pendidikan kerjaya, Jabatan Sekolah-sekolah (JSS); Pengurus Gudang dari KFC Brunei Sdn Bhd, Dayang Adriana binti Abdullah; timbalan pengetua akademik, timbalan pengetua pentadbiran, guru-guru, dan pelajar.
Dalam ucapan Timbalan Pengetua Akademik SMSO, Dayang Edna Maria binti Haji Osman, merakamkan penghargaan terima kasih kepada KFC Brunei Sdn Bhd dan JSS atas kerjasama bagi aktiviti pembungkusan itu sejak 2014 di sekolah menengah kerajaan yang terpilih. Beliau berharap projek kerjasama itu akan dapat diteruskan dalam masa terdekat kerana ia membantu membangunkan kemahiran kebolehpasaran pelajar dan memberi pengalaman kerja sebagai persediaan untuk penempatan latihan kerja dan pekerjaan selepas tamat program.
Pada akhir majlis, Dayang Edna Maria turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Clarice Petrus, dan Dayang Adriana.
SMSO merupakan sekolah menengah kerajaan ketiga yang terlibat dalam aktiviti berkenaan. Pada masa ini, terdapat tiga sekolah menengah kerajaan yang melaksanakan projek tersebut iaitu Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali, Sekolah Menengah Menglait dan SMSO.