Sunday, July 27, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    9 penyeludup migran dihukum penjara di Perancis

    LILLE, 30 JUN – Sebuah mahkamah di Perancis semalam menjatuhkan hukuman penjara antara tujuh hingga lapan tahun terhadap tujuh warga Afghanistan dan dua warga Kurdis Iraq dalam insiden bot karam yang membawa pendatang dari Perancis ke England pada 2022.

    Bot kecil berkenaan telah bertolak dari Perancis pada awal 14 Disember 2022, membawa penumpang dari Afghanistan, Albania, India dan Senegal.

    Empat orang terbunuh dan empat lagi dilaporkan hilang selepas bot tersebut karam beberapa kilometer dari pantai England, dengan hanya satu mayat dikenalpasti – seorang lelaki warga Afghanistan. Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan 39 orang mangsa dalam tragedi tersebut.

    Mahkamah di bandar Lille menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas tiga lelaki, termasuk seorang warga Afghanistan yang dibicarakan tanpa hadir di mahkamah dan dipercayai menjadi dalang utama sindiket penyeludupan itu.

    Tertuduh yang lain dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, termasuk dua beradik warga Afghanistan yang didakwa membiayai operasi tersebut.

    Lelaki ke-10 yang kini ditahan di Belgium akan dibicarakan kemudian manakala malim kapal dipenjarakan sembilan tahun. – AFP

    Migran yang diselamatkan di laut ketika cuba menyeberangi Selat Inggeris, diiringi turun dari bot penyelamat Institusi Bot Penyelamat Kebangsaan Diraja UK (RNLI) di Marina Dover, tenggara England, pada 14 Disember 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda