LABUAN, 29 DIS – Labuan Point Enterprise, syarikat pengurusan tiket yang menyelia perkhidmatan feri roll-on roll-off (ro-ro) Labuan-Menumbok-Labuan, hari ini mengumumkan dua perjalanan harian tambahan bagi memenuhi lonjakan permintaan yang tidak dijangka.
Pengurusnya, Robert Ling, berkata jadual sedia ada terdiri daripada tujuh perjalanan dan memandangkan permintaan yang meningkat, perjalanan harian akan ditambah menjadi sembilan dengan khidmat gabungan empat buah feri Kimanis Satu, Putrajaya Satu, Joy Star dan Goodwill Star.
“Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan pengguna terutama mereka yang terkandas di Menumbok, Sabah, dapat kembali ke pulau ini memandangkan cuti sekolah bakal berakhir.
“Justeru, kami akan meningkatkan perjalanan harian daripada tujuh kepada sembilan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Keputusan itu dibuat susulan penggantungan sementara operasi feri Galaxy dan Blue Ocean yang diuruskan oleh pengendali lain, Juta Bonus Sdn Bhd, bermula kelmarin disebabkan masalah teknikal.
Tarikh penyambungan semula perkhidmatan kedua-dua feri itu tidak dinyatakan.
“Kami akan menilai situasi itu untuk menentukan sama ada pelarasan tambahan diperlukan, yang dijangka meningkatkan perjalanan harian kepada maksimum 11 untuk menampung pengguna yang terkandas dan memastikan aliran pengangkutan yang lancar,” kata Robert.
Beliau berkata perjalananan tambahan itu bertujuan mengurangkan kesulitan yang disebabkan oleh gangguan yang tidak dijangka dan memastikan perjalanan pulang pada masa nya bagi mereka yang terjejas.
“Labuan Point Enterprise kekal komited untuk memudahkan keperluan pengangkutan masyarakat dan memberi respons segera terhadap masalah yang timbul oleh penggantungan sementara perkhidmatan feri tertentu,” katanya. – Bernama