RAMALLAH, 28 April – Sekurang-kurangnya sembilan rakyat Palestin kelmarin cedera selepas tentera Israel meleraikan demonstrasi Palestin untuk menyokong tahanan Palestin di penjara Israel dengan kekerasan, kata sumber perubatan.
Berpuluh-puluh rakyat Palestin berada berhampiran penempatan Israel di Beit Eil, utara bandar Tebing Barat Ramallah, dan bertempur dengan pasukan tentera Israel.
Saksi berkata, penunjuk perasaan melaungkan slogan menyokong beribu-ribu tahanan Palestin, yang telah melancarkan mogok lapar selama 11 hari berturut-turut dan bertempur dengan tentera Israel.
Sumber perubatan berkata bahawa tentera Israel meleraikan perhimpunan penunjuk perasaan dengan gas pemedih mata, peluru getah dan peluru hidup, sambil menambah bahawa sembilan ditembak dan cedera ringan dan berpuluh-puluh pengsan akibat gas pemedih mata.

Kira-kira 7,000 tahanan Palestin bermula pada 17 April melancarkan mogok lapar yang kemudiannya beransur-ansur merebak di dalam penjara Israel, dengan beratus-ratus menyertai termasuk banduan yang dihukum penjara seumur hidup.
Di Gaza dan Tebing Barat, beratus-ratus rakyat Palestin menyertai mogok lapar selama sehari. Penyokong mengambil bahagian dalam mogok tersebut di jalan-jalan dan meletakkan khemah di bandar-bandar besar di wilayah-wilayah.
Palestin menyeru Israel untuk membebaskan semua tahanan dari penjara dan menuntut bahawa ini akan dimasukkan ke dalam mana-mana perjanjian damai yang tetap antara Israel dan Palestin. – Xinhua