Oleh Sim Y. H
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Seramai kira-kira 9 ribu pengunjung telah berkunjung ke acara Baiduri Santai Sahur 2025 yang merupakan acara komuniti anjuran Bank Baiduri yang diadakan pada dua hujung minggu pada Mac lalu di Ibu Pejabat Bank Baiduri.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, menyatakan acara itu mengumpul warga Brunei bagi merasai sebuah pengalaman sahur yang tidak dapat dilupakan dengan mengetengahkan cita rasa tempatan, menghargai budaya dan kemampanan.
Dengan penyertaan sebanyak 31 vendor tempatan, acara berkenaan menjana suasana yang mesra dan mantap bagi keluarga dan pengemar makanan di mana ia mencerminkan usaha berterusan bank berkenaan untuk menyokong usahawan tempatan dan perniagaan kecil dengan menyediakan platform yang bermakna bagi pertumbuhan dan keterlihatan bagi mereka.
Edisi acara pada tahun ini menekankan penggunaan pembayaran tanpa tunai melalui Baiduri Tap2Pay dengan rakan kongsi, imagine Sdn Bhd, untuk memastikan kesemua transaksi dilaksanakan dengan efisien bagi kemudahan vendor dan pelanggan.
Mengukuhkan lagi komitmennya terhadap kemampanan, Bank Baiduri menggalakkan pengunjung untuk membawa bekas dan cawan yang boleh digunakan semula sekali gus menyumbang kepada pengurangan plastik-guna sekali.
Bank berkenaan juga bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi alam sekitar utama termasuk Kawan Bumi Sdn Bhd, Shaliz Waste Recycling Sdn Bhd, Biofield Solutions dan Tebalik Plastik untuk mempromosi amalan pengurusan sisa bertanggungjawab sepanjang acara berkenaan.
Menerusi usaha kolektif berkenaan, bank berkenaan bersama rakan-rakan kongsinya telah berjaya mengumpul dan mengkitar semula 170 kg plastik, 12.45 kg sisa makanan, 4.67 kg sisa umum iaitu bekas dan cawan kertas serta 136 liter minyak masak di mana ia menyokong matlamat meluas Bank Baiduri untuk mengurangkan sisa tapak pelupusan sisa di Brunei.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui menyatakan bahawa Baiduri Santai Sahur adalah bukan hanya sekadar perhimpunan bermusim, sebaliknya ia merupakan peluang untuk mengumpul masyarakat, menyokong perniagaan tempatan dan mempromosikan kemampanan semasa tempoh istimewa berkenaan.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua vendor dan rakan-rakan kongsi atas dedikasi dan komitmen kepada masyarakat dan kemampanan dalam menjana pengalaman Ramadan yang bermakna untuk semua yang terlibat.