Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan JBP
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Sebanyak sembilan buah rumah terlibat dalam kebakaran di Kampung Setia B, kelmarin, dan punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Dalam insiden berkenaan, 52 orang Anggota Bomba dari Balai Bomba Sungai Kebun dan Balai Bomba Pelancaran yang diketuai oleh DSO Haji Nordin Bin Ahmad serta bantuan tenaga Balai Bomba Bandar Seri Begawan, Balai Bomba Beribi, Balai Bomba Pengkalan Batu dan Balai Bomba Mentiri bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kebakaran.
Sebaik sahaja sampai di tempat kejadian, anggota Bomba segera bertindak memadam kebakaran tersebut dengan menggunakan 12 jet hos 64mm ke 38mm dengan mengunakan control dividing breeching, di mana air diperolehi daripada air terbuka dan pili bomba yang berdekatan, dan api dapat dikawal dari merebak dalam masa satu jam.
Sehubungan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat menyarankan kepada orang ramai supaya memastikan menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan bangunan.
Selain memastikan penyelanggaran wayar letrik dikendalikan oleh syarikat yang bertauliah mengikut piawaian yang dikendalikan oleh Pihak Jabatan Elektrik, serta memastikan bangunan dilengkapi dengan peralatan keselamatan kebakaran iaitu alat pemadam api jenis debu kering (2kg) dan selimut api (Fire Blanket), di samping mengetahui mengenai tatacara pengunaan alat pemadam api dengan betul bagi tindakan awal memadam kebakaran kecil.
Jika berlaku sebarang insiden kecemasan, hubungi talian kecemasan 995 dengan memberikan maklumat yang tepat.
