Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Tindakan pantas sembilan orang awam yang berjaya memadamkan kebakaran dalam tiga kejadian berasingan telah mendapat pujian serta menerima Sijil Masyarakat Berjasa daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, Cawangan Operasi C menyerahkan Sijil Masyarakat Berjasa kepada sembilan orang awam berkenaan yang berjaya memadamkan kebakaran iaitu kebakaran kereta dan kebakaran elektrik Kenyataan menyatakan lagi bahawa sijil berkenaan disampaikan oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi C, SSFR Pengiran Azizul Rahman bin Pengiran Haji Yusop dalam majlis yang berlangsung di Balai Bomba Rimba, baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi C, SFR Haji Mustapa bin Haji Mohamad.
Bagi kejadian kebakaran kereta di Jalan Pasir Berakas, mereka yang menerima Sijil Masyarakat Berjasa ialah Dayang Aida Raficca binti Bolhassan dan Dayang Siti Hamizah binti Awang Ismail yang pernah menghadiri Kursus Marsyal Bomba di JBP, Awang Mohd Redzam bin Roslan, Awang Mohd Syazwi bin Mohd Tamin, Dayang Irzy binti Tuah dan Dayang Nur Kamalin Mastura binti Abdullah.
Manakala itu, kejadian kebakaran elektrik di Bangunan Knowledge Hub, Kampung Anggerek Desa berjaya dipadamkan oleh Lim Fun dan bagi kebakaran elektrik di Bolkiah Garison, ia berjaya dipadamkan oleh Sukirno bin Mohd Duljani.

