90 kampung diwartakan kawasan hutan simpan

PENAMPANG, 8 NOV – Kerajaan Negeri bersetuju mewartakan 90 kampung di negeri ini yang termasuk dalam kawasan Hutan Simpan, demikian menurut Menteri Pembangunan Luar bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Menurut beliau, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Kabinet Negeri pada dua hari lepas yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya ia sejajar dengan pendirian Kerajaan Negeri yang diterajui Mohd Shafie bahawa terdapat keperluan untuk mewartakan kampung yang sudah sekian lama dalam kawasan hutan simpan atau konsesi syarikat  Kerajaan Negeri Sabah.

“Perkara ini dibincang pada mesyuarat kabinet negeri dua hari lepas dan bersetuju sebanyak 90 kampung seluruh Sabah diwartakan dalam kawasan Hutan Simpan.

“Ini keputusan kabinet negeri yang pertama mewartakan jumlah kampung yang banyak yang sudah lama wujud dalam kawasan Hutan Simpan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persatuan Pelancongan, Homestay dan Produk Kampung Kibunut Penampang dekat sini, hari ini.

Keputusan itu susulan keperihatinan Ketua Menteri dan jemaah menteri dalam membela rakyat yang sudah sekian lama menuntut tanah kampung yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan di negeri ini.

Antara kampung yang diwartakan adalah daerah Kota Belud, Tamparuli, Tuaran, Tenom, Lahad Datu, Beluran dan Pulau Banggi. – Bernama

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick (tiga, kiri) tertarik melihat kejernihan air sungai Kibunut ketika hadir merasmikan Homestay Diana di Kampung Kibunut kelmarin. – Bernama