Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Seramai 90 orang pelatih terdiri daripada pelajar yang mengikuti program iSkills dan Industrial Skills Qualification (ISQ) di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah berjaya menamatkan Program Jati Diri (PJD) bagi pelajar iSkills Kohort 3.
Sehubungan itu, para pelajar yang berjaya menamatkan program selama 90 hari tersebut telah diraikan dalam majlis penutup yang berlangsung di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Batu Apoi, Temburong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian anugerah pelatih terbaik ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Wawasan) di Jabatan Perdana Menteri, Dr Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah.
Turut hadir ialah pengarah-pengarah jabatan di bawah Kementerian Pendidikan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Sekretariat Tetap Manpower Planning and Employment Council (MPEC), Pengarah JobCentre serta MISC Leads.
Pada majlis berkenaan, Dr Hajah Huraini telah menyempurnakan penyampaian anugerah pelatih terbaik kepada para pelatih serta menyaksikan tayangan video memaparkan beberapa aktiviti yang dijalani oleh para pelatih.
PJD dikendalikan dengan kerjasama antara Sekretariat Tetap MPEC, Bahagian Khidmat Bakti Negara (BKBN) serta IBTE dengan matlamat untuk menyemai nilai-nilai keperibadian dan jati diri yang teguh dalam kalangan para pelajar.
Ia diadakan untuk meningkatkan, memupuk dan mengukuhkan integriti, disiplin, rasa bertanggungjawab, prinsip keagamaan serta juga mengubah minda para pelatih supaya lebih berdaya tahan.
Sebelum menjalani latihan PJD berkenaan, para pelatih terlebih dahulu menamatkan pengajian mereka selama enam bulan di IBTE, tiga bulan di Registered Training Organisations (RTOs) dan tiga bulan penempatan kerja di dalam industri.
Beberapa komponen telah ditekankan dalam program berkenaan iaitu komponen jati diri, keagamaan dan kenegaraan, komponen disiplin dan latihan fizikal, komponen keusahawanan serta komponen khidmat komuniti.
Dengan adanya komponen berkenaan, para pelatih akan lebih bersedia daripada segi fizikal, mental emosi dalam menghadapi cabaran serta rintangan terutama sekali apabila melangkah ke alam pekerjaan yang semakin mencabar.
Selain menerapkan nilai-nilai moral, pelatih diharap bersedia menggalas tugasan yang diberikan dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi dalam menyumbang kepada diri sendiri, masyarakat dan negara serta berperanan sebagai contoh teladan bagi generasi tenaga kerja yang akan datang.