ANKARA, 16 MEI – Kira-kira 90 peratus daripada 2.4 juta penduduk Gaza dipindahkan secara paksa akibat serangan Israel yang berterusan ke atas wilayah itu, kata Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) kelmarin, lapor Anadolu Ajansi.
Rakyat Palestin juga memperingati ulang tahun ke-77 pengusiran mereka dari bandar-bandar di Palestin susulan penubuhan Israel kelmarin.
“Pada 1948, lebih 700,000 rakyat Palestin diusir dari bandar dan kampung mereka. Peristiwa ini dikenali sebagai Nakba,” kata UNRWA dalam satu kenyataan.
“Tujuh puluh tujuh tahun kemudian, rakyat Palestin terus diusir secara paksa.”
Agensi pelarian itu berkata konflik berkenaan telah menyebabkan 90 peratus penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka.
“Sebahagian daripada mereka telah diusir sebanyak 10 kali atau lebih.”
Sejak Oktober 2023, tentera Israel melancarkan serangan kejam ke atas Semenanjung Gaza, mengakibatkan lebih 53,000 rakyat Palestin terbunuh setakat ini, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. – Bernama/Anadolu
