90 penunjuk perasaan ditahan di Armenia

YEREVAN, 14 JUN – Polis Armenia menahan puluhan penyokong pembangkang yang menunjuk perasaan di Yerevan hari ini selepas perkhidmatan keselamatan menggeledah rumah dan pejabat seorang pemimpin pembangkang atas dakwaan melaku jenayah ekonomi.

“Lebih 90 orang ditahan semasa bantahan,” beritahu jurucakap polis Armendia Ashot Aharonyan kepada AFP.

Perhimpunan beramai-ramai buat masa sekarang diharamkan di Armenia disebabkan perintah darurat yang dikenakan akibat pandemik koronavirus.

Tunjuk perasaan meletus apabila perkhidmatan keselamatan negara Armenia (NSS) berkata ia telah menggeledah rumah ahli politik pembangkang Gagik Tsarukyan dan pejabat parti Kemakmuran Armenia sebagai sebahagian daripada siasatan dalam ‘jenayah kewangan.’

Kemakmuran Armenia ialah parti terbesar menentang Perdana Menteri Nikol Pashinyan di negara bekas Soviet itu.

Ratusan penyokong pemimpin pembangkang itu berkumpul di luar ibu pejabat perkhidmatan keselamatan, menjerit: ‘Panhinyan, letak jawatan!’

Tsarukyan disyaki menjalankan ‘perniagaan haram yang menyebabkan dana kerajaan kehilangan AS$60 juta’ dan beliau telah dipanggil untuk disoal siasat, kata perkhidmatan keselamatan dalam satu kenyataan.

Sebagai seorang ahli parlimen, Tsarukyan mempunyai imuniti daripada pendakwaan.

Beliau memberitahu wartawan hari ini bahawa tuduhan ke atasnya adalah ‘bermotifkan politik’ dan bertujuan menutup kritikan beliau terhadap pengendalian pandemik koronavirus oleh Perdana Menteri Panshinyan. – AFP

Penyokong pemimpin pembangkang Gagik Tsarukian menghadiri rapat berhampiran ibu pejabat perkhidmatan keselamatan di Yerevan kelmarin. – AFP