Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Seramai 90 orang peserta telah menyertai Program Pengukuhan Institusi Kekeluargaan melalui Bimbingan Imam dan Makmum dalam Keluarga Siri Kedua yang berlangsung di Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop, baru-baru ini.
Para peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan Kementerian Pembangunan, serta ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Mohamed Bolkiah Kampung Serusop, Muslimah dan jemaah masjid.
Program anjuran JHEM melalui Bahagian Imarah, dengan kerjasama AJK Takmir Masjid Mohamed Bolkiah, dikendalikan secara berkala setiap bulan dengan tujuan memperkukuh institusi kekeluargaan melalui bimbingan agama yang praktikal dan berkesan.
Sesi kali ini memfokuskan kepada bimbingan mengenai solat Jamak dan Qasar, yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid dari Bahagian Bimbingan dan Latihan, JHEM, Awang Haji Mohd Sahri bin Haji Sulaiman.
Program tersebut merupakan kesinambungan daripada siri terdahulu yang telah diadakan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong pada bulan Januari dan Februari lalu.
Antara objektif penganjurannya adalah untuk mewujudkan perpaduan dan kesatuan dalam kalangan keluarga menerusi pelaksanaan solat berjemaah, serta memberikan pendedahan mengenai keringanan (rukhsah) dalam solat, khususnya semasa musafir atau ketika menghadapi kesulitan tertentu.
Solat merupakan kewajipan utama bagi setiap Muslim mukallaf dan menjadi tiang agama Islam. Justeru itu, Islam menyediakan rukhsah Jamak dan Qasar sebagai kemudahan kepada umatnya agar kewajipan bersolat tetap dapat ditunaikan walaupun dalam keadaan yang mencabar.
Program itu turut menerapkan nilai-nilai bermasyarakat, antaranya pentingnya mentaati imam sebagai pemimpin solat, serta peranan masjid sebagai pusat penyebaran ilmu melalui penganjuran majlis-majlis ilmu yang berterusan dan bermanfaat.
Program Bimbingan Imam dan Makmum dalam Keluarga Siri Kedua ini akan diteruskan pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.


