Saturday, February 22, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    900 karton rokok berjaya dirampas

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Sebanyak 900 karton rokok pelbagai jenama telah dirampas semasa operasi pemantauan yang dijalankan oleh Unit Peronda Polis Marin (POLMAR) di kawasan perairan Sungai Bunga, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), anggota POLMAR telah mengesan dua buah perahu yang mencurigakan dan bertindak untuk memintas bagi tujuan pemeriksaan.

    Menyedari akan kehadiran anggota penguatkuasaan, perahu-perahu tersebut kemudiannya melarikan diri.

    Unit POLMAR telah berjaya mengesan salah sebuah perahu yang ditinggalkan tanpa pemandu, manakala itu sebuah lagi perahu tidak dapat dikesan.

    Penemuan perahu itu menumpaskan percubaan penyeludupan barang tegahan yang masuk ke dalam kawasan perumahan Kampung Sungai Bunga.

    Rokok pelbagai jenama yang berjaya dirampas oleh penguat kuasa. – GAMBAR SERAHAN PPDB

    Hasil pemeriksaan awal ke atas perahu itu telah mendapati 18 kotak besar dipercayai mengandungi barang tegahan berupa rokok yang tidak diisytiharkan. Perahu tersebut dibawa ke Ibu Pejabat POLMAR untuk siasatan lanjut.

    Perahu serta barang-barang tegahan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk tindakan selanjutnya.

    Kenyataan menegaskan, PPDB akan sentiasa membuat pemantauan dan risikan serta akan mengambil tindakan pada setiap kegiatan yang menyalahi undang-undang di negara ini.

    Pihak polis menyarankan orang ramai agar dapat memberikan apa jua jenis maklumat dengan menghubungi talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

    Operasi berkenaan merupakan usaha untuk menanai tugas dan tanggungjawab menjaga keselamatan perairan Negara Brunei Darussalam dan POLMAR PPDB terus aktif dalam meningkatkan rondaan dan operasi bagi mencegah sebarang kegiatan jenayah haram di perairan ini daripada berleluasa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda