Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    911 Carrera GTS baharu lebih sporty, eksklusif

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Porsche Brunei, di bawah QAF Prestige, pengedar eksklusif Porsche di Brunei, baru-baru ini memperkenalkan 911 Carrera baharu melalui sesi tayangan khas di Porsche Centre Brunei dari 27 Ogos hingga 10 September.

    Pengenalan Porsche baharu ini memberi peluang kepada pelanggan dan tetamu yang menempah temu janji untuk meneroka reka bentuk, teknologi, dan prestasi 911 Carrera baharu secara dekat.

    Ini mencerminkan komitmen Porsche Brunei untuk memberikan ‘Saat penuh inspirasi bagi Pengalaman Kereta Sport’ dengan memberikan tumpuan kepada keunikan, layanan peribadi dan keterlibatan yang lebih mendalam dengan setiap tetamu.

    Timbalan Pengurus Besar Porsche Brunei, Daniel Loo, menekankan bahawa sesi tersebut menawarkan pelanggan hubungan yang lebih bermakna dengan jenama dan 911 yang ikonik.

    PRESTASI HIBRID BERINSPIRASIKAN SUKAN PERMOTORAN

    Model baharu 911 Carrera GTS menampilkan sistem T-Hybrid berprestasi tinggi dan ringan yang diinspirasikan daripada kepakaran sukan permotoran Porsche. Terasnya ialah enjin boxer 3.6 liter yang digandingkan dengan pengecas turbo gas ekzos elektrik yang dibangunkan baharu.

    Penampilan elegan Porsche 911 Carrera. – GAMBAR SERAHAN PORSCHE BRUNEI
    Ruang dalaman yang sportif. – GAMBAR SERAHAN PORSCHE BRUNEI
    GAMBAR SERAHAN PORSCHE BRUNEI

    Motor elektrik bersepadu membawa pengecas turbo mencapai kelajuan serta-merta, menghasilkan tekanan boost dan berfungsi sebagai penjana untuk menjana sehingga 11kW kuasa. Rangkaian kuasa ini turut merangkumi motor segerak magnet kekal yang diintegrasikan ke dalam transmisi klac berkembar lapan kelajuan (PDK) yang dinaik taraf, memberikan tork tambahan dan lonjakan kuasa sambil mengekalkan dimensi yang padat.

    Bateri litium-ion voltan tinggi menyimpan tenaga sebanyak 1.9kWh, dilengkapi dengan bateri onboard 12-volt yang ringan. Enjin boxer sahaja menghasilkan 357kW (485PS) dan 570Nm tork, manakala keseluruhan sistem hibrid mencapai 398kW (541PS) dan 610Nm.

    Berbanding model terdahulu, 911 Carrera GTS baharu memecut lebih pantas dan mengekalkan ciri pemanduan dinamik sambil mengurangkan pelepasan karbon dioksida, dengan hanya peningkatan berat sebanyak 50 kilogram.

    Sementara itu, 911 Carrera Coupe mengekalkan enjin 3.0 liter twin-turbo, kini dilengkapi dengan penyejuk antara model Turbo, menghasilkan 290kW (394PS) dan 450Nm. Ia memecut dari 0-100kmsj dalam masa 4.1 saat (3.9 saat dengan pakej Sport Chrono) dan mampu mencapai kelajuan maksimum 294kmsj.

    REKA BENTUK DALAMAN SPORTY, RINGKAS & KONEKTIVITI CANGGIH

    Bahagian dalam 911 baharu menggabungkan DNA reka bentuk tradisional Porsche dengan teknologi moden. Varian Coupe hadir standard sebagai dua tempat duduk, dengan pilihan konfigurasi 2+2.

    Kokpit berfokuskan pemandu itu menampilkan paparan instrumen melengkung digital penuh 12.6 inci dengan tujuh paparan boleh ubah suai, termasuk paparan Klasik yang diinspirasikan oleh meter Porsche tradisional. Kawalan penting, termasuk suis mod pemanduan dan butang mula, diletakkan di sekeliling stereng untuk operasi intuitif.

    Paparan tengah 10.9 inci Porsche Communication Management (PCM) membolehkan penyesuaian mod pemanduan dan sistem bantuan yang lebih baik.

    Ciri tambahan termasuk ruang sejuk dengan pengecasan tanpa wayar untuk telefon pintar serta log masuk Porsche ID yang dipermudah melalui kod QR, meningkatkan kesambungan dan kemudahan untuk pemandu.

    Melalui pelancaran peribadi, integrasi teknologi hibrid terkini, pengendalian yang dioptimumkan, inovasi aerodinamik, dan kokpit digital moden, Porsche 911 Carrera baharu di Brunei melambangkan komitmen jenama terhadap prestasi, kemewahan, dan pengalaman pelanggan yang diperibadikan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda