Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    93 pelatih PPB tamat latihan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Seramai 93 orang pelatih Program Pembangunan Belia sesi 2023 yang terdiri daripada 50 orang pelatih lelaki dan 43 orang pelatih perempuan, telah berjaya menamatkan sesi latihan selama sembilan bulan di Pusat Pembangunan Belia (PPB) dan diraikan dalam Majlis Pra-Graduasi PPB 2024, hari ini.

    Hadir pada majlis di PPB berkenaan dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pelatih yang diraikan ialah Setiausaha Tetap (Kebeliaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Zakaria bin Haji Serudin.

    Majlis berlangsung dengan upacara perbarisan tamat latihan di mana ia merupakan acara tahunan sempena para pelatih tamat mengikuti program Kemahiran Latihan dan Program Pembangunan Diri selama sembilan bulan di PPB.

    Ia juga bagi menandakan peralihan program yang akan diikuti oleh para pelatih iaitu program penempatan kerja di agensi-agensi kerajaan dan swasta yang akan dijalankan selama tiga bulan.

    Antara acara pada majlis berkenaan ialah penyampaian hadiah pelatih terbaik bagi beberapa kategori iaitu Terbaik Kemahiran Latihan, terbaik dalam lima bidang utama iaitu, disiplin, kesukanan, keagamaan, asrama dan pembangunan diri.

    Pada majlis itu juga, seorang pelatih lelaki iaitu Awang Nur Arief Zulfadhly bin Nor Hashim dan seorang pelatih perempuan iaitu Dayang Nor Firzanah Akmal binti Haji Mohd Hairol Mazlan telah dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan bagi sesi 2023.

    Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian penghargaan kepada empat orang jurulatih kawad dan latihan sukan dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang telah membantu pihak PPB dalam mengajar dan membimbing latihan kawad dan kesukanan.

    Setelah itu, beberapa buah aktiviti dan pergerakan statik dipersembahkan oleh para pelatih seperti latihan gerakan jasmani, perbarisan jalan cepat dan statik.

    Perbarisan dan persembahan itu menunjukkan tahap disiplin yang tinggi sentiasa diterapkan kepada para pelatih sepanjangan mengikuti kursus di pusat tersebut di samping mengikuti pelbagai aktiviti yang bermanfaat untuk bekal kehidupan mereka pada masa hadapan.

    Haji Zakaria menyampaikan hadiah pelatih terbaik kepada salah seorang penerima. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Haji Zakaria menyampaikan hadiah Pelatih Terbaik Keseluruhan bagi 2023 kepada Dayang Nor Firzanah Akmal. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    ATAS & BAWAH: Bacaan Ikrar Belia oleh para pelatih yang diraikan di majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda