Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    937 pelajar baharu lanjut pengajian di PB

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Seramai 937 orang pelajar baharu yang mengikuti 21 buah program Diploma Tahap 5 memulakan pengajian di Politeknik Brunei (PB) dengan Minggu Orientasi Pelajar-pelajar Pengambilan ke-13 Sesi Julai 2023, Tahun Akademik 2023/2024 yang berlangsung di Dewan Bankuet, BRIDEX, Jerudong, hari ini.

    Acara kemuncak Minggu Orientasi berkenaan adalah ucapan alu-aluan khas oleh Pemangku Pengarah PB, Lim Kian Boon.

    Turut hadir semasa majlis berkenaan ialah Penolong Pengarah (Korporat, Perancang dan Pembangunan), Dayang Arbaniah binti Haji Sablee; Penolong Pengarah (Akademik), Hajah Hanipah binti Haji Apong, ahli-ahli Senat PB, ketua-ketua bahagian, pusat dan sekolah, ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar PB serta pelajar-pelajar sukarelawan.

    Dalam ucapan alu-aluan khasnya, Lim Kian Boon berharap para pelajar baharu dapat menggunakan kesempatan minggu orientasi berkenaan untuk mendekati, memahami dan menghayati sistem pembelajaran, pengajaran serta sistem pentadbiran dan pengurusan di PB.

    Beliau turut menerangkan bahawa tujuan utama minggu orientasi berkenaan adalah untuk memperlihatkan penyertaan dan kerjasama serta juga ke arah mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar dan pihak pentadbiran serta tenaga pengajar PB.

    Pelajar-pelajar PB melafazkan ikrar semasa Minggu Orientasi Politeknik Brunei, hari ini. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Sim Y. H.

    Pada masa yang sama, beliau menyeru semua pelajar baharu untuk menghargai peluang yang telah diberikan kepada mereka serta percaya dengan memberikan komitmen yang sepenuhnya, mereka akan berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang di PB.

    Majlis dimeriahkan dengan persembahan tarian daripada pelajar-pelajar PB dan diikuti dengan bacaan lafaz ikrar oleh pelajar-pelajar pengambilan ke-13, sesi Julai 2023 dengan diketuai oleh pelajar Diploma Tahap 5 dalam Perakaunan dan Kewangan, Sekolah Perdagangan, Awang Mohammad Aqiel Khairi bin Muhammad Alias.

    Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Awang Mohammad Aqiel Khairi menyatakan perasaan gembira dan amat menghargai peluang yang diberikan kepada mereka untuk mengikuti pengajian dalam program pilihannya di PB.

    Beliau berkata, pengajiannya di PB akan meningkatkan lagi kemahiran teknikalnya serta akan membantunya untuk menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat sebagai seorang belia siap siaga masa hadapan apabila menamatkan pengajiannya nanti.

    Ia merupakan satu platform yang amat baik, tambahnya, untuk mengembangkan ilmu pengetahuan, pengalaman dan pengetahuan dalam meneroka peluang-peluang kerjaya pada masa akan datang.

    Sesi minggu orientasi berkenaan diisikan dengan program-program yang dapat membantu para pelajar untuk mengenali PB dengan lebih dekat dan memberikan gambaran kehidupan sebagai pelajar politeknik.

    Ia juga diisi dengan aktiviti-aktiviti yang diharap akan dapat membantu para pelajar menjalani pengajian dan kehidupan yang produktif di PB.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda