TEHRAN, 4 JAN – Sebanyak dua letupan yang berlaku berhampiran dengan tanah perkuburan Jeneral Iran Qassem Soleimani meragut nyawa sekurang-kurangnya 95 orang dan mencederakan lebih 210 yang lain kelmarin, lapor media tempatan.
Letupan itu berlaku ketika orang ramai berkumpul di tanah perkuburan di bandar Kerman di tenggara Iran untuk memperingati ulang tahun keempat kematian Soleimani yang terbunuh dalam serangan dron Amerika Syarikat (AS).
Letupan pertama berlaku kira-kira 700 meter dari kubur Soleimani manakala letupan kedua dalam jarak satu kilometer dari kubur jeneral itu, Xinhua memetik agensi berita Iran, IRNA.
Timbalan gabenor wilayah Kerman bagi hal ehwal politik dan keselamatan, Rahman Jalali mendakwa letupan itu dilakukan oleh kumpulan pengganas, lapor IRNA.
Saluran berita Islamic Republic of Iran News Network berkata punca letupan masih disiasat dan pasukan penyelamat berada di tempat kejadian.
Kebanyakan mangsa yang cedera disebabkan oleh keadaan berasak-asak dan panik.
Kerajaan Iran telah mengisytiharkan hari ini sebagai hari berkabung negara. – Bernama