Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Pusat Derma Darah membekalkan sekurang-kurangnya 50 hingga 60 liter darah setiap hari yang diperlukan bagi rawatan pesakit seperti barah, dialisis, talasemia akut, pembedahan dan sebagainya.
Derma darah juga bertujuan memastikan bekalan darah terus mencukupi bagi keperluan harian di hospital-hospital di seluruh negara.
Salah seorang wakil Pusat Derma Darah mengongsikan perkara itu semasa ditemui pada kempen derma darah anjuran Pizza Hut dan Dairy Queen di Airport Mall, Berakas kelmarin.
Menurutnya lagi, sokongan banyak pihak berjaya meningkatkan stok darah setakat ini.
Pada kempen derma darah itu, sebanyak 95 liter darah berjaya dikumpulkan daripada 137 orang yang telah mendaftar untuk menderma darah.
Kempen derma darah itu menyediakan platform untuk warga Pizza Hut dan Dairy Queen beramal, membantu pusat itu menyediakan stok darah mencukupi dan pada masa yang sama, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya.
