Friday, September 20, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    950 pelajar baharu lanjut pengajian di UBD

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Seramai 950 orang pelajar memulakan pengajian mereka di Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan diraikan serta melafazkan ikrar semasa Minggu Pelajar Baharu (Freshers’ Week) Sesi Akademik 2023/2024 yang berlangsung di Dewan Canselor UBD, hari ini.

    Pelajar-pelajar baharu UBD bagi kemasukan Ogos sesi akademik 2023/2024 terdiri daripada 40 orang pelajar ijazah kedoktoran, 192 orang pelajar sarjana, 593 orang pelajar sarjana muda serta 125 orang pelajar program Unibridge.

    Daripada jumlah 950 orang pelajar berkenaan, 346 orang pelajar iaitu 36 peratus adalah pelajar lelaki dan 604 orang pelajar iaitu 64 peratus adalah pelajar perempuan.

    Hadir untuk mengalu-alukan serta menyampaikan ucapan khas kepada pelajar-pelajar baharu berkenaan ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.

    Dalam ucapan khasnya di majlis itu, Dr Hazri menyatakan komitmen UBD untuk melahirkan pelajar-pelajar siap siaga masa depan melangkaui hanya mempersiapkan mereka untuk memasuki pasaran pekerjaan.

    Awang Saidai menyampaikan kata alu-aluan semasa majlis berkenaan. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Para pelajar baharu UBD melafazkan ikrar semasa majlis berkenaan. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Nazarah Marshall semasa ditemu bual. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Walaupun UBD berusaha untuk melengkapkan para pelajar dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan supaya mereka berjaya dalam bidang-bidang pilihan mereka tetapi pihaknya juga menekankan pembangunan kualiti-kualiti seperti penyesuaian diri, berdaya tahan, tabah, empati dan kepimpinan.

    “Dunia sentiasa berubah dan kami mahu awda untuk bersedia menerima perubahan dan melakukan impak yang positif,” ujar Dr Hazri.

    Dari segi kesejahteraan spiritual para pelajar, beliau menyatakan bahawa UBD telah memperkenalkan Program Quranic Journey bagi meningkatkan literasi dan kefahaman Al-Quran di kalangan pelajar-pelajar yang beragama Islam di universiti berkenaan.

    Terdahulu dalam kata alu-aluannya, Dekan Pelajar, Awang Saidai bin Haji Hitam menerangkan bahawa Minggu Pelajar Baharu itu merupakan program atau acara tradisi UBD yang diadakan setiap awal semester bagi menyambut, memperkenalkan dan mempersiapkan pelajar baharu terhadap cabaran yang akan dihadapi sepanjang pengajian pelajar itu nanti.

    Salah seorang pelajar baharu yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam Design and Creative Industries, Nazarah Marshall semasa temu bual ringkas bersama Media Permata menyatakan perasaan teruja kerana berpeluang untuk mengikuti pengajian dalam bidang yang diminatinya di UBD.

    Sebelum ini, beliau telah mengambil masa setahun selepas menamatkan pengajian menengah untuk meneroka minat dan hala tuju masa depannya dan setelah mendapat pandangan daripada keluarga serta juga rakan-rakan yang sedang menuntut di UBD, beliau membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang rekaan dan industri kreatif.

    Mengulas mengenai pemilihannya untuk melanjutkan pengajian di UBD, Nazarah berkata di samping kecemerlangan program dan pensyarah di UBD, kehadiran rakan-rakan yang turut menuntut di UBD membuatkan pilihannya lebih mudah.

    Beliau menerangkan bahawa walaupun kedua-dua ibu bapanya berasal dari Afrika Selatan tetapi beliau telah dilahirkan dan membesar di Brunei yang menjadikannya lebih cenderung untuk kekal melanjutkan pengajiannya di Brunei.

    Sementara itu, menyentuh mengenai pilihannya mengambil bidang rekaan dan industri kreatif, beliau amat meminati bidang itu, di mana sebelum ini beliau telah mengembangkan hobinya dalam bidang seni dan kreatif termasuk fotografi dan penggambaran.

    Beliau yakin pengajiannya semasa di UBD akan mengembangkan kemahiran dan ilmu pengetahuannya untuk terus maju dalam bidang industri kreatif yang merupakan kerjaya pilihan baginya.

    Minggu Pelajar Baharu UBD diadakan selama lima hari di mana ia dihasratkan untuk membantu memudahkan peralihan pelajar-pelajar dan membiasakan diri mereka dengan kehidupan di universiti supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan, pelajaran dan suasana di UBD.

    Ia turut memberikan peluang kepada pelajar-pelajar baharu UBD untuk mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan untuk menyesuaikan diri mereka dengan kehidupan baharu mereka bergelar mahasiswa dan mahasiswi UBD.

    Semasa program itu, pelajar baharu berkenaan akan mengikuti siri taklimat yang mencakupi hal ehwal berkaitan dengan akademik dan bukan akademik termasuk penerangan mengenai program GenNEXT, program Discovery Year, peraturan peperiksaan, keselamatan kampus serta taklimat dan ceramah dari pelbagai unit, jabatan dan agensi dari dalam dan luar universiti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda