Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Seramai 96 orang ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Omar ‘Ali Saifuddien telah menerima surat lantikan masing-masing pada majlis yang berlangsung di masjid berkenaan, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan surat lantikan serta cenderahati pada majlis tersebut ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Amir Hisham bin Haji Masri.
Pengimarahan masjid memerlukan kerjasama padu dan komitmen yang tinggi antara pegawai masjid dan AJK takmir sesebuah masjid dalam menjayakan aktiviti-aktiviti kerana setiap kejayaan tidak akan dapat dicapai jika hanya satu pihak sahaja yang bergerak secara sendirian.
Dengan kerjasama kedua-dua pihak itu, akan membuatkan masjid menjadi bersemarak dengan pelbagai aktiviti takmir.
Pentakmiran masjid, selain memperbanyakkan aktiviti-aktiviti berbentuk peraduan dan pertandingan yang dianjurkan, juga meliputi pentakmiran secara keseluruhan khususnya aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pelaksanaan ibadah seperti sembahyang lima waktu, kuliah-kuliah ilmu dan lain-lain.