JAKARTA, 6 NOV – Program saringan kesihatan percuma di seluruh Indonesia tahun ini yang disertai lebih 50.5 juta orang telah mendedahkan sebahagian besar daripada 285 juta penduduk negara itu kurang melakukan aktiviti fizikal serta mengalami pelbagai masalah kesihatan utama, menurut Kementerian Kesihatan.
Dilancarkan oleh Presiden Prabowo Subianto, Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma itu berlangsung dari 10 Februari hingga 4 November dan mencatatkan penyertaan luar biasa dengan 53.6 juta orang mendaftar di seluruh negara, sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap kesihatan dalam kalangan rakyat republik berkenaan.
Data Oktober pula menunjukkan risiko berkaitan gaya hidup yang berterusan dengan hampir 96 peratus orang dewasa didapati tidak aktif secara fizikal, 41.9 peratus mempunyai masalah karies gigi, 32.9 peratus mengalami obesiti pusat dan 24.4 peratus mempunyai berat badan berlebihan atau obes, menurut laporan kementerian itu.
“Penyertaan lebih 50 juta orang merupakan pencapaian penting dalam usaha kesihatan negara, namun data itu juga menjadi peringatan, aktiviti fizikal dan gaya hidup sihat mesti dijadikan keutamaan bersama,” kata Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin.
Menurut kementerian itu, pemeriksaan ke atas kumpulan umur lain turut menunjukkan corak serupa, dengan 18.6 peratus anak damit baru lahir berisiko mengalami gangguan saluran hempedu, 6.1 peratus mempunyai berat lahir rendah dan 5.5 peratus menghidap penyakit jantung kongenital kritikal.
Dalam kalangan kanak-kanak bertatih dan prasekolah, data menunjukkan 31.5 peratus mengalami masalah kesihatan gigi, 5.3 peratus terbantut dan 3.8 peratus mengalami susut berat badan atau kekurangan zat makanan akut. – Bernama


