WASHINGTON, 31 MEI – Amerika Syarikat (AS) merekodkan 971 kes campak setakat tahun ini, jumlah tertinggi pernah dicatatkan sejak 1994, memetik Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC), lapor agensi berita Anadolu.
Kes paling banyak dilaporkan di New York dan Rockland County membabitkan komuniti Yahudi ultra-Ortodoks yang kebiasaannya tidak memberi suntikan vaksin kepada anak mereka.
Pada 1994 sebanyak 963 kes campak dicatatkan. Campak dihapuskan secara rasmi di AS pada 2000.
CDC memberi amaran jika wabak berterusan sepanjang musim panas dan musim luruh, AS berisiko kehilangan status bebas wabak campak.
Sebelum vaksin campak diperkenalkan, kira-kira tiga hingga empat juta orang dijangkiti setiap tahun, mengakibatkan antara 400 hingga 500 kematian dan 48,000 lagi dimasukkan ke hospital, menurut CDC.
“Campak boleh dicegah, dan caranya adalah dengan memastikan semua kanak-kanak dan orang dewasa menerima suntikan vaksin.
“Sekali lagi, saya memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa vaksin campak adalah selamat dan tidak menyebabkan autisme,” kata Pengarah CDC Robert Redfield dalam satu kenyataan. – Bernama
